Monday, November 24, 2014

Mataku Bisu, Telingaku Buta, Mulutku Tuli.

Aneh bukan? Siapa pernah sangka matanya akan bisu?
Pasti kau ketawa dan tuduh aku dungu.
Ketawa                          e      a       a
         ketawa           k        t      w
                   ketawa
tapi sebenarnya kau ditertawa
Kau punya mata, guna melihat dunia
tapi sejauh mana matamu bersuara?
mulutmu dikatup, tertutup!
kau pandang, tapi ucapmu sonsang!

Hahahahahahahaha

Pelik bukan? Siapa pernah sangka telinganya akan buta?
Pasti kau ketawa lagi dan tuduh aku sudah mahu mati,
ketawa             ketawa
            ketawa            ketawa
                                            a
                                         w
                                           a
                                         t
                                           e
                                              k
Kau punya telinga, guna menangkap bicara,
tapi sampai mana telingamu melihat?
telingamu disumbat, tersekat
kau dengar, tapi bicaramu cemar
kau biar, ada yang tercalar!

Hahahahahahahaha

Ajaib bukan? siapa pernah sangka mulutnya akan tuli?
sekali lagi kau akan ketawa dan tuduh aku berhalusinasi
                                      a
                                    w
                                  a
                                t
                              e                  k
                            k                            e
ketawa ketawa ketawa ketawa ketawa   t
                                                          a
                                                      w
                                                  a
kau punya mulut, guna mengumbar kata
tapi sampai mana katamu dijaga?
mulutmu dijahit, tersepit!
kau sebut, tapi katamu carut
lain sebut, katamu lalut
kau biar, ada yang terjerut!

Hahahahahahahhaha

Mari kita ketawa. Kerana mata kita sudah bisu. Telinga kita buta. Mulut kita tuli!
Cukup imaginasi, cukup halusinasi, cukup inkarnansi
mari dengar ketawa dunia
di telinga kita yang buta!
Cukup puisi tentang sepi.
Cukup puisi tentang hati.

- Biar sendiri

Monday, October 13, 2014

Dian






adakalanya,
perlu berterima kasih
pada gelap malam
kerananya,
kita mampu berkasih
pada bicara pendam
kau tahu, bulan merintih
bersuara lirih?

- dalam kelam
          
usah dian, liuk-lentuk
menuntun usia sumbu,
hingga kian, terperuk
menenun keliru
antara pujukan bayu
dan nyala yang layu

- dalam pejam
           
siapa sangka,
masih tersisa
ruang gelita
meski diannya
mula nyala

- dalam diam

-Karisma Kejora-

____________________________________

Kalau kau tanya mengapa puisiku sukar dimengerti, 
jawabku, 
kerana ia dari hati!

Usah kau tahu kerana kau tak akan tahu apa yang perlu diberitahu sehingga diberitahu apa yang kau mahu tahu. Kau tidak pernah tahu.


Thursday, October 2, 2014

Mimpi Azalea





seperti ada yang tertanggal,
carik dari dinding hati,
hingga terasa janggal,
mimpi yang ditelusuri,

entah siapa?
yang bermukim dalam lena
walau sebentar,
mencucuh, membakar
mata yang berpinar

"esok, kita perlu bangun
 seperti embun,
yang gugur di hujung daun,"

pekaca, cukup sekadar wangi azalea,
untuk duniaku puspawarna,
bukan lagi sepi,
sebagai retribusi

- Karisma Kejora -

Sunday, June 1, 2014

Pembunuh Yang Dibunuh Sebelum Cuba Membunuh



I
Dia menyelinap senyap dengan sebilah rahsia
pada tangan kirinya di belakang kita
sebelum menusuk tepat di jantung, tembus
dan kita yang terkepung, terus
mencari jalan keluar
dari luka yang tercalar

kita mungkin cinta
atau cinta itu kita
mungkin juga kita adalah rahsia
yang menjadi cintanya
dan rahsia itu melekat di jantung,
dengan rindu yang terkurung,

    II
dia cuba menyelinap senyap semula
masih dengan sebilah rahsia
dan cuba mencuri kesempatan,
dari sebelah kanan
tempat kenangan digugurkan
sebelum menusukkan lagi pada hati
yang didegupkan sepi
sekali lagi kita mencari jalan keluar
dari luka yang tercalar

mungkin, rahsia itu sebenarnya
dari hati kita,
atau kita yang sebenarnya
menghatikan rahsia
sebelum dia menjelma
membunuh secara sentosa

    II
pembunuh yang dibunuh
dengan seutas cinta
sebelum cuba membunuh
dengan sebilah rahsia
itulah sebenarnya kita

- Karisma Kejora -

______________________________________

Sampai bila harus memendam rahsia? Antara kita.

Monday, May 26, 2014

Lelaki yang Menjual Cintanya Pada Bayang-bayang


                          
Kau bisa tanyakan soalan pada cahaya,
antara kita siapa yang setia?
atau yang menyelinap dalam ketakutan
siang yang gersang 
malam yang panjang


tidak!
dia cuma lelaki yang
menjual cinta pada bayang-bayang
tidak hilang
meski jarang dipandang


Jawapannya ada di sini,
ketika kau masih tidak mengerti
dia lelaki yang dipijak sepi
oleh kakimu sendiri


-Karisma Kejora-

Monday, April 21, 2014

Kesempatan Vs Pilihan

Kesempatan ini adalah bahasa yang terlalu payah untuk ditafsirkan. Kesempatan untuk apa? Pada pilihan yang buntu atau kesudahan yang pilu? Kita akan terus mencari kesempatan itu. Kesempatan untuk sesuatu yang kita sendiri tidak mengerti.

Mungkin, sudah tiba masanya kita tidak perlu mengharapkan kesempatan. Atau tak perlu lagi mencipta kesempatan. Kita lari bersama-sama kesempatan atau kesempatan yang meninggalkan kita terkontang-kanting ke belakang.

Biarkan pula mereka yang melakukan pilihan. Kita pilihkan mereka dengan pilihan. Biar juga pilihan itu yang memilihkan mereka dengan pilihan yang entah apa-apa. Mungkin seperti kita yang juga entah apa-apa.


Kesempatan dan pilihan atau pilihan dan kesempatan. Terlalu sukar untuk dimengerti atau pengertian itu sendiri yang tidak mahu dimengerti. Ah!


Atau kita pula yang mengajar kesempatan tentang pilihan dan ajar pilihan tentang kesempatan. Kita biarkan keduanya saling belajar dan mengajar dan kita pula yang terkejar-kejar atau dikejar-kejar. Siapa kita? Kita bukan kesempatan, kita juga bukan pilihan. Kerana adanya kesempatan, kita harus membuat pilihan. Tapi dalam pilihan jarang sekali kita dapat kesempatan. Mungkin juga pilihan itu adalah kesempatan dan kesempatan itu adalah pilihan.

Kesempatan ketawa,
Pilihan juga ketawa,
kita sama-sama ketawa

Sebenarnya kita diketawakan oleh kesempatan, diketawakan oleh pilihan, diketawakan oleh ketawa itu sendiri. Ketawa pun ketawa kerana kesempatan mahu ketawa. Ketawa pun ketawa kerana pilihan mahu ketawa. Akhirnya kita semua ketawa kerana diketawakan.


Kita masih lagi menyebut tentang kesempatan ketika pilihan menanyakan maksud kesempatan. Tapi bila kita mahu menyebut tentang pilihan, kesempatan sudah kibarkan bendera putih. Tidak mahu berkata apa. Kesempatan mahu diam. Pilihan yang tertanya-tanya terus berdendam. Tidak mahu lagi memilih pilihan untuk menyebut tentang kesempatan. Kau sedar? Kita ditengah-tengahnya. Tersepit antara kesempatan dan pilihan. Malah kesempatan dan pilihan itu rakus menghimpit kita. Kita tidak tahu apa-apa. Sebab kesempatan dan pilihan sudah berdendam. Kita mangsanya.


Kesempatan dan pilihan itulah ujian. Malah kalau boleh ujian sendiri tidak mahu menguji kesempatan dan pilihan. Tapi itulah hakikat yang perlu ditelan dan kita harus mengerti biarpun pengertian sendiri masih tidak mahu dimengerti. Ah!

- Seandainya menyintaimu satu kesempatan,
- Pasti hidup denganmu suatu pilihan
- Lalu aku pilih keduanya.


- Dialog dalam jiwa Karisma Kejora -

Friday, February 21, 2014

Perkhabaran Tentang Malam






Ketika aku khabarkan padanya tentang malam, suatu perjalanan yang panjang dan bersimpang,
dia tiba-tiba jadi dirinya yang satu, diragang dendam dari sebuah pencarian walang,
rindu yang menginding bagai hasrat yang memeking dari suatu sudut yang terlalu misteri,
tetapi bernama hati, sedang aku sendiri disesatkan bicara yang cuba menafsir majazi,
malahan hakikat nafsi, meski cuma sejambak puisi

sayang, sampai bila harus merabik dada purnama?
sedang yang kautemui terluka bukan awan, bukan langit, tapi suatu keadaan gelita
yang menggelintari sukma, dan itu mungkin aku yang selalu menghirup gemerlap cahaya
atau mungkin jua ianya kita, yang sering dibutakan arah oleh sekeping mimpi yang sudah kumal,
padahal jari-jemari yang berinai kasih, masih gemas menaakul makna,
malam inilah perjalanan yang dirasakan terlalu lama,
untuk bintang bertemasya, usai tersangkak dari sangkar gerhana


sampai sekarang aku masih mahu khabarkan padanya tentang malam,
suatu perjalanan yang panjang dan bersimpang,
kerana darinya terumbar kenangan, mahupun sekelumit rindu yang mencengkam,
barangkali ianya penantian untuk esok hari, ketika mentari menjelang
paling kurang mungkin juga ianya masa depan yang masih berbelam,


tapi, perjalanan inilah yang sebenarnya menyesatkan,
dalam suatu kemudi tak bernakhoda, dan kita masih merancang keputusan
yang selalu tidak mencapak, mungkin ianya takdir antara derita yang terpencar,
dan duka yang menjelar, betapa kelana menggalas usia sungguh perlu diabar dengan sabar
kerana darinya aku jadi pencinta yang mencuba dewasa,
meski gelita membunuh atma tanpa sengaja,


- Karisma Kejora -

_________________________________________


Sebuah puisi bukan untuk aku, bukan untuk kau, bukan juga untuk kita. Tapi untuk sesuatu yang tertinggal, itulah kenangan yang sukar tertanggal. ( buat s, dalam ingatan)


Sudah terlalu lama MPR ditinggalkan. Tapi segala kenangan masih bermukim dalam ingatan. Alangkah indah untuk dikenang.