Friday, November 22, 2013

Pesan Pada Merpati






Aku pernah berpesan pada merpati,
sampaikan salam sepiku pada mentari yang menyungging seri,
ketika ia mencuit langit, terbang tinggi,
Tapi jawab merpati, sepi sudah jadi tradisi
bila kita cabut mimpi,
dan biar kelayuannya memamah diri,
seperti mentari yang sudah biasa gelisah menanti,
keputusan takdir keesokkan hari..

lalu aku tiba-tiba jadi takut,
pada belaian manja bayu yang berpuput,
mana tahu bisa menjerut,
keruh wangian usia yang disedut

Aku cuba lagi berpesan pada merpati,
pagutlah dukaku yang berselerakkan di dada bumi,
ketika ia turun mengintai rezeki,
tapi jawab merpati, duka sudah lama bersemadi,
ketika kau relakan kasih merangkai hati,
dan aku harus mengerti perit bersahabat dengan duri,
seperti bumi yang sudah biasa disakiti,
keputusan hidup yang keji

lantas tiba-tiba aku khuatir terjatuh,
meski dahan tempatku berpaut menjamin teguh,

Ya.. Kadangkala aku harus belajar dari merpati,
bagaimana untuk mengemudi diri,
ketika dicabar ribut di langit tinggi,
mahupun diugut sepi,
ketika di bumi..

Sayangnya, aku bukan merpati..

- Karisma Kejora -

___________________________________________________________________

Terlalu banyak yang perlu kau belajar ketika cuba menghargai apa yang kau anggap bererti dalam kehidupanmu sendiri. Memang perit. tapi itulah cabaran yang perlu kau galas, sebab tidak mungkin semuanya akan bermula indah begitu sahaja. Adakalanya perlu merasa kepahitan terlebih dahulu. Dari situlah kau akan rasa dirimu masih belum mampu mendepani kedewasaan. Belajar dan terus belajarlah meski kau rasa sudah tidak berdaya bila dicengkam pancaroba.

Lumrah hidup adakalanya bermula indah, berakhir derita
Tradisi hidup adakalanya mengumpan derita, menghadiahkan bahagia

Pilihlah jalan mana perlu kau telusuri.

Kerana aku akan terus kekal di sisi,
hidup dalam perkataanku sendiri,
dalam puisi, dalam bicara sepi
biarpun mungkin satu hari nanti dijemput pergi....

~ Pada suatu pagi yang sepi ~