Wednesday, June 5, 2013

Hanya Dalam Puisi

 
 
 
 
 
 
Terkurung dalam kebisuan suasana,
berbicara cuma titis-titis mutiara,
di mata kesayuan mungkin terlihat nyata,
di hati sendu tangisnya lebih hiba,
bila keadaan memujuk untuk rela,
melepaskan sebutir permata berharga,
 
Relalah ku kutip kaca memori yang berselerakan,
cantum... cantumkan menjadi cermin kenangan,
biarpun mungkin serpihannya cuma,
tajam menghiris.. sentuhku tersayat luka,
begitulah ibarat rindu yang bakal dirasa,
bila waktu menjeling curiga,
untuk kita sama-sama teroka rimba usaha,
mengintai denai mana yang perlu ditelusuri,
sebelum ketemu rimbun wangian kasturi
 
bicara syahdu mentafsir bait puitis,
ku baca ketika hati disapa gerimis,
pujuk diri usah terus menangis,
kerana tangisan tidak pernah setanding jasamu yang terlukis,
menghiasi tiap sudut kusam, warna-warni bunga kritis
tapi aku menangis,
kerana tahu perpisahan itu sungguh menghiris
 
Seandainya dapat ku pinjam secebis masa,
inginku ulangi detik, saat senyummu berbunga,
petah melontar bicara bersepuh makna,
dalam hempedu kata,
terselit madu semanis rasa,
sampai minda tahu menterjemah,
antara khilaf atau salah,
antara benar dan nyata,
baktimu tiada dua,
biarpun purnama gugur ke riba,
 
Mungkin derap langkahmu menuntuni karamnya mentari,
perlahan sunyi dalam pelarian hari,
tapi tak bermakna akan sepi sebuah impi,
kerana kita tetap berlindung bawah hamparan janji,
bertatih mengutip serpihan mimpi,
sehingga yang digenggami itu pelangi,
kuntuman doa mekar mewangi..
 
 
- KARISMA KEJORA -
 
______________________________________________________________________________
 
Aku bermukim sekali lagi dalam daerah perkataan ini. Menguntaikan sedikit penghargaan untuk seseorang. Biarpun cuma sejambak puisi, gambaran kelayuan sekuntum bicara, tapi beginilah cara aku menghargai. Menyusup dalam perkataan, bersembunyi dan membiarkan hanya puisi ini yang bercerita. Kerana bagi aku, bicara di bibir ibarat angin lalu. Manja mengusap pipi, tapi cepat berlalu pergi. Tapi dengan puisi, biarpun nadi berhenti menari, Inshaa Allah ianya akan kekal mekar mewangi. Itulah kuasa sejambak puisi..
 
Mungkin ada yang tertanya, siapa seseorang itu?
 
Aku mungkin hanya mewah pada persoalan, tapi miskin dalam jawapan...
 
Biarlah seseorang itu adalah engkau, atau mungkin aku, atau juga mungkin siapa-siapa sahaja..
 
Tapi yang pastinya ia adalah sebuah puisi penghargaan.
 
 
Ya... Aku juga tahu menghargai dengan cara aku sendiri..
 
 
Tapi benarkah penghargaan hanya mekar selepas wujudnya perpisahan. Aku masih tercari-cari kelibat jawapan di balik persoalan tersebut. Atau segalanya berbalik pada diriku jua, mewah dengan persoalan, tapi papa kedana pada jawapan. Atau sebenarnya jawapan itu bersembunyi sebalik perpisahan yang tercipta. Mengapa semuanya begitu mudah rapuh? Bernakna tapi cuma sementara.

.
 
Aku linglung...

Mengapa mesti ada penghargaan untu sebuah perpisahan??

Hanya mampu diam...