Monday, May 20, 2013

Berpisah Itu Lumrah

                               It’s not easy saying goodbye
                                useful site | Goodbye | Source


                                 


Usah diratap pada perpisahan,
kerana walau terpisah antara jurang keadaan,
Tiap detik bersama abadi menjadi poster kenangan,
tertampal kemas di dinding ingatan

Relakanlah kalbu mencicip pahitnya rindu,
ketika waktu merenggangkan seketika masa bertemu,
asal kita tetap mesrakan perasaan,
memujuk fikiran,
menanti kembali kemanisan pertemuan,
yang bakal mengusir segala kerinduan,

Tawa bersama mengharungi perjalanan usia,
kekadang terluka digores ketajaman bicara,
kerana manusia tidak mungkin berdaya, 
untuk mengatur sesuatu yang sempurna,
kemaafanlah penawarnya, ubat segala duka,
yang manis dikenangi, saat hati dihambat sepi

Menangislah... agar kita tahu di sini kita pernah berdiri,
melirik senyuman sekuntum mentari,
megah melukiskan seri,
Menangislah... kerana di sini kita pernah meramas kedinginan hujan,
mencurah lebat membasahi ketandusan fikiran,
seperti lebatnya tangisan dari langit perasaan,
bila kemesraan terpaksa kita pudarkan,
kerana waktu adakalanya cemburu mengizinkan,
untuk kita terus bersama..

Perpisahan ini bukan bermakna 'Selamat Tinggal'
kerana di kebun jiwa, meranum ingatan kekal,
Perpisahan ini bukan bererti karamlah mimpi,
kerana selagi nadi masih bernyanyi,
pasti kita dipertemukan kembali...

- KARISMA KEJORA -

_________________________________________________________________________________

Bila berbicara tentang perpisahan, sekonyong-konyong pita memori aku memutarkan ingatan terhadap seseorang. Ya benar. Aku juga pernah merasai perpisahan. Malahan ianya sudah sebati mengisi kamus usia aku sendiri. Sahabat handai, rakan taulan datang dan pergi. Warna warni watak aku temui. Tapi sehingga kini aku masih mencari diri aku sendiri dalam erti kata sebenar perpisahan itu. Cuba mengintai kelibat sendiri dalam permainan takdir ; bila bertemu pasti akan ada perpisahan. Tapi sehingga kini aku temui, perpisahan itulah diri aku sendiri. Tapi... Aku akui, perpisahan dengan   -----  banyak mengajar aku tentang segalanya. Terima kasih saudari.. Biarpun sehingga kini aku masih begitu merindui untuk kita dipertemukan kembali. Biarpun waktu dan situasinya cukup asing sekali. Aku akan terus menanti. Pasti!

Friday, May 17, 2013

Menulis sedikit tentang hidup...

Aku melihat kehidupan di sini cukup berbeza. Cukup asing pada sudut pandang aku sendiri. Kesepian mengintai tiap ruang waktu yang terbuka. Aku sendiri tidak mengerti, cukup payah sekali untuk menterjemahkan dalam bahasa hati yang mudah untuk akal dan fikiran sendiri fahami. Di sini aku tercari-cari makna sebenar persahabatan. Cuba meneguk sedikit kemanisannya. Tapi yang aku lihat adalah sahabat-sahabat yang sebenarnya hadir tika merasa dirinya terlalu mengidamkan pertolongan. Kesempatan dilemparkan, menghimpitkan aku pada dua keadaan ; antara perlu menolong atau menjadi sombong. Sebab aku tahu, mereka akan melakar seribu satu alasan palsu, bila aku pula mahu dibantu.


Aku juga melihat watak sahabat yang cukup berbeza. Senyuman mereka akan menjadi senyuman paling manis pernah aku temui ketika mereka juga sedang bersendirian. Aku pula seakan muak dengan stereotaip perkataan yang sering dilontarkan ; " Lama tidak jumpa?". Tapi bila mereka sedang berteman, senyum pun seakan dipaksa-paksa, atau paling hebat sekali buat-buat tidak pandang. Itukah maksud persahabatan?  Tapi itulah realiti yang perlu ditelan. Biarpun cukup pahit sekali utuk menerimanya. 


Tiba-tiba aku menjadi rindu pada kehidupan dahulu...


Thursday, May 16, 2013

Lidah Kelu Bicara Layu


Be yourself image


Aku tanam bicara dalam abjad-abjad bisu,
cuba mencangkul hasrat dalam bahasa yg masih begitu malu,
untuk kau atau sesiapa tahu..

ketahuilah disini rinduku bertempiaran,
dalam kiasan perkataan,
sedarilah disini kasihku berkeliaran,
dalam kesibukan jiwa menafikan,

kerana sesuatu yg indah tdk semestinya,
harus pd manis bibir menuturnya..

~ Maaf, Aku cuma mampu menulis ~


- KARISMA KEJORA -

Tuesday, May 14, 2013

Aku Yang Memerhati

 
 

 
Aku masih menyelongkar makna ketika batin diragang dilema,
kekalutan wujud untuk meneka,
apakah kesepianmu itu nyata,
atau cuma aku yang khilaf dalam menduga,
sehingga bicara ini rela menjadi boneka,
kata pincang sebuah bahasa mata,
 
Gadis.. bukan pemandangan indah di wajah yang mencuit rindu,
tapi aku melihat bayang diriku balik senyum palsumu,
atau sememangnya manusia tidak mampu lari dijerut keliru,
ketika harus mencari jawapan bisu sebalik gerak kaku,
mungkinkah engkau seperti aku?
kelu memujuk rayu waktu,
agar tidak lemas dihanyutkan waktu yang cemburu
 
apakah engkau terkesan dengan sepi ; sedangkan ianya lorong,
yang memisahkan kita dari menjadi sombong,
seperti mereka yang sibuk dengan kekasih,
tapi mencari teman tika jiwanya pedih,
 
tak perlulah mencari teman,
yang nantinya engkau ditinggalkan,
kerana manusia lebih agungkan kesempatan,
dari berselubung dalam janji setia selimut perkasihan,
kerana aku, kau dan kesepian itulah rakan
 
 
Aku? Masih terus menduga....
 
 
- KARISMA KEJORA -

___________________________________________________________________________________

Faradhiya. Bait nama yang cukup indah. Tapi aku melihat hidupnya mungkin tidak seindah nama dan wajahnya. Atau aku sebenarnya yang silap menduga? Dia selalu kelihatan bersendirian, asyik dengan dunianya. Atau sebenarnya dia lebih suka untuk bersendirian? Terlalu banyak persoalan yang hadir tanpa jawapan. Tapi itulah Faradhiya. Gadis yang mengasingkan diri daripada kelompok manusia yang lebih gemar di samping kekasih. Rakan taulan yang hadir tika waktu memerlukan pertolongan semata. Apakah engkau juga sepertiku duhai Faradhiya? Maaf jika aku salah dalam mentafsir dirimu. Maaf juga dipinta sekiranya engkau menemui puisi dari seorang lelaki yang asyik memerhati tingkah sepimu. Sekian....

Monday, May 13, 2013

Bicara Langit Hati

Tinta Berdarah Sebatang Pena


Relationships Are Like Glass
cool website | Break Up, Quotes Graphics | Source




Mungkinkah ada dinding kaca yang tidak kelihatan,
Sepertinya kita terpisah antara wangian salam pertemuan,
Kau, aku dan sepasang pancaindera,
Memilih bisu menjadi habuan bicara,
Seakan bahasa mata mukadimah terindah,
Biarpun redup pandangan menghamparkan segurun keluh kesah,

Benarkah rindu dendam terindah yang tercipta?
Sampai saat ini masih jua mendera,
Kenapa dan mengapa,
Bukan soalan yang perlu ditanya,
Kerana jawapannya sering menjadikan kita pendusta,
Yang mendustai perasaan sendiri,
Sedangkan hati kepingin dimiliki,

Lalu kaca yang sejernih ini perlukah diretakkan,
Biarpun menzahirkan luka dan parut kenangan,
Asalkan telapak silaturrahim bersentuhan,
Seperti keadaan tika jiwa raga kita hanyutkan,
Dilambung ombak keakraban,

Tanpa kaca keangkuhan,
Tanpa kaca permusuhan,

Tapi sebenarnya keegoanlah kaca, 
Membentengi diri bagai dalam dunia yang berbeza,
Runtuh dan hancurkanlah tanpa sisa,
Agar kemaafan balasan rindu yang mulia,
Untuk kau, aku atau sesiapa


- KARISMA KEJORA -

_________________________________________________________________________________

Sebalik kaca. Sebuah puisi yang aku nukilkan buat seorang teman. Melalui puisi inilah aku telah berjaya melembutkan hati teman-teman yang suatu masa dahulu bertelingkah angkara kronologi cerita yang tidak mampu diberitakan di sini. Dari sinilah aku mengerti kuasa sebenar sebuah puisi yang mana mampu mencipta sesuatu yang berseri jika berpadanan pada masa dan situasi. Tetapi sebenarnya keindahan pada bahasa itulah yang menjerat, memanipulasikan perasaan sehingga mampu mengembilakan keindahan dalam konteks persahabatan itu sendiri. Kuasa puisi, siapa mungkin mengerti? Kecuali bagi mereka yang sememangnya ibarat mengatur hidup dan mati dalam dunia puisi. Aku? Masih mencari identiti diri.

Wednesday, May 8, 2013

Aku cuma Menulis

Accept Yourself
visit this website | Be Yourself | Source


Aku tercari-cari makna reformasi balik bait kata bongkak,
ketika mereka menjadi sebahagian daripada orang-orang yang terdesak,
bangkit memberontak, kononnya untuk menuntut hak,
Tapi dalam diam galak mencongak,
not-not bernilai di dompet kosong, saku yang terkoyak,


Aku juga tertanya-tanya makna kemajuan?
sebalik kemunduran fikiran yang asyik mengintai kesempatan,
untuk projek  memperbesarkan lot-lot tanah,
serta harta pusaka yang kian bertambah,
mereka pinjam simpati untuk pamerkan gundah,
memujuk hati-hati yang payah kononnya untuk berubah,
namun dalam diam mereka mengasah,
kekuatan untuk terus diuliti megah,
kekal dalam kehidupan mewah,


Di mana sebenarnya??


Aku terus membisu... 



- KARISMA KEJORA - 


_________________________________________________________________________________

Di mana sebenarnya kebenaran sebalik perkataan manusia yang sudah terbiasa dengan habuan kemewahan? Lantas apa yang nereka inginkan juga adalah sesuatu yang mampu memberi kesenangan. Apakah mereka mengeluh dengan kepayahan yang mungkin baru sebulan atau paling lama setahun dirasakan? Sedarkah mereka, masyarakat pastinya sudah jemu dengan janji-janji madu yang selalunya bertukar menjadi janji-janji hempedu yang layu setelah si penabur janji mendapat apa yang diinginkan. Bukankah begitu adat manusia? Terlalu sukar untuk membina kepercayaan setelah sekian lama terjerumus dalam permainan nakal golongan-golongan oportunis. Namun kehidupan perlu diteruskan dan terus menyaksikan watak-watak yang akan berubah perwatakkannya, hanya setelah mendapat apa yang diidamkan..

Hanya mampu memerhati................