Monday, May 20, 2013

Berpisah Itu Lumrah

                               It’s not easy saying goodbye
                                useful site | Goodbye | Source


                                 


Usah diratap pada perpisahan,
kerana walau terpisah antara jurang keadaan,
Tiap detik bersama abadi menjadi poster kenangan,
tertampal kemas di dinding ingatan

Relakanlah kalbu mencicip pahitnya rindu,
ketika waktu merenggangkan seketika masa bertemu,
asal kita tetap mesrakan perasaan,
memujuk fikiran,
menanti kembali kemanisan pertemuan,
yang bakal mengusir segala kerinduan,

Tawa bersama mengharungi perjalanan usia,
kekadang terluka digores ketajaman bicara,
kerana manusia tidak mungkin berdaya, 
untuk mengatur sesuatu yang sempurna,
kemaafanlah penawarnya, ubat segala duka,
yang manis dikenangi, saat hati dihambat sepi

Menangislah... agar kita tahu di sini kita pernah berdiri,
melirik senyuman sekuntum mentari,
megah melukiskan seri,
Menangislah... kerana di sini kita pernah meramas kedinginan hujan,
mencurah lebat membasahi ketandusan fikiran,
seperti lebatnya tangisan dari langit perasaan,
bila kemesraan terpaksa kita pudarkan,
kerana waktu adakalanya cemburu mengizinkan,
untuk kita terus bersama..

Perpisahan ini bukan bermakna 'Selamat Tinggal'
kerana di kebun jiwa, meranum ingatan kekal,
Perpisahan ini bukan bererti karamlah mimpi,
kerana selagi nadi masih bernyanyi,
pasti kita dipertemukan kembali...

- KARISMA KEJORA -

_________________________________________________________________________________

Bila berbicara tentang perpisahan, sekonyong-konyong pita memori aku memutarkan ingatan terhadap seseorang. Ya benar. Aku juga pernah merasai perpisahan. Malahan ianya sudah sebati mengisi kamus usia aku sendiri. Sahabat handai, rakan taulan datang dan pergi. Warna warni watak aku temui. Tapi sehingga kini aku masih mencari diri aku sendiri dalam erti kata sebenar perpisahan itu. Cuba mengintai kelibat sendiri dalam permainan takdir ; bila bertemu pasti akan ada perpisahan. Tapi sehingga kini aku temui, perpisahan itulah diri aku sendiri. Tapi... Aku akui, perpisahan dengan   -----  banyak mengajar aku tentang segalanya. Terima kasih saudari.. Biarpun sehingga kini aku masih begitu merindui untuk kita dipertemukan kembali. Biarpun waktu dan situasinya cukup asing sekali. Aku akan terus menanti. Pasti!

3 comments:

Elya Khadija said...

wow, penanti yang setia nampaknya... :)

Elya Khadija said...

wow, penanti yang setia... :) tapi percayalah, penantian itu satu penyeksaan... :D

Karisma Kejora said...

hehehe.. xdelah..