Friday, February 21, 2014

Perkhabaran Tentang Malam






Ketika aku khabarkan padanya tentang malam, suatu perjalanan yang panjang dan bersimpang,
dia tiba-tiba jadi dirinya yang satu, diragang dendam dari sebuah pencarian walang,
rindu yang menginding bagai hasrat yang memeking dari suatu sudut yang terlalu misteri,
tetapi bernama hati, sedang aku sendiri disesatkan bicara yang cuba menafsir majazi,
malahan hakikat nafsi, meski cuma sejambak puisi

sayang, sampai bila harus merabik dada purnama?
sedang yang kautemui terluka bukan awan, bukan langit, tapi suatu keadaan gelita
yang menggelintari sukma, dan itu mungkin aku yang selalu menghirup gemerlap cahaya
atau mungkin jua ianya kita, yang sering dibutakan arah oleh sekeping mimpi yang sudah kumal,
padahal jari-jemari yang berinai kasih, masih gemas menaakul makna,
malam inilah perjalanan yang dirasakan terlalu lama,
untuk bintang bertemasya, usai tersangkak dari sangkar gerhana


sampai sekarang aku masih mahu khabarkan padanya tentang malam,
suatu perjalanan yang panjang dan bersimpang,
kerana darinya terumbar kenangan, mahupun sekelumit rindu yang mencengkam,
barangkali ianya penantian untuk esok hari, ketika mentari menjelang
paling kurang mungkin juga ianya masa depan yang masih berbelam,


tapi, perjalanan inilah yang sebenarnya menyesatkan,
dalam suatu kemudi tak bernakhoda, dan kita masih merancang keputusan
yang selalu tidak mencapak, mungkin ianya takdir antara derita yang terpencar,
dan duka yang menjelar, betapa kelana menggalas usia sungguh perlu diabar dengan sabar
kerana darinya aku jadi pencinta yang mencuba dewasa,
meski gelita membunuh atma tanpa sengaja,


- Karisma Kejora -

_________________________________________


Sebuah puisi bukan untuk aku, bukan untuk kau, bukan juga untuk kita. Tapi untuk sesuatu yang tertinggal, itulah kenangan yang sukar tertanggal. ( buat s, dalam ingatan)


Sudah terlalu lama MPR ditinggalkan. Tapi segala kenangan masih bermukim dalam ingatan. Alangkah indah untuk dikenang.