Monday, April 21, 2014

Kesempatan Vs Pilihan

Kesempatan ini adalah bahasa yang terlalu payah untuk ditafsirkan. Kesempatan untuk apa? Pada pilihan yang buntu atau kesudahan yang pilu? Kita akan terus mencari kesempatan itu. Kesempatan untuk sesuatu yang kita sendiri tidak mengerti.

Mungkin, sudah tiba masanya kita tidak perlu mengharapkan kesempatan. Atau tak perlu lagi mencipta kesempatan. Kita lari bersama-sama kesempatan atau kesempatan yang meninggalkan kita terkontang-kanting ke belakang.

Biarkan pula mereka yang melakukan pilihan. Kita pilihkan mereka dengan pilihan. Biar juga pilihan itu yang memilihkan mereka dengan pilihan yang entah apa-apa. Mungkin seperti kita yang juga entah apa-apa.


Kesempatan dan pilihan atau pilihan dan kesempatan. Terlalu sukar untuk dimengerti atau pengertian itu sendiri yang tidak mahu dimengerti. Ah!


Atau kita pula yang mengajar kesempatan tentang pilihan dan ajar pilihan tentang kesempatan. Kita biarkan keduanya saling belajar dan mengajar dan kita pula yang terkejar-kejar atau dikejar-kejar. Siapa kita? Kita bukan kesempatan, kita juga bukan pilihan. Kerana adanya kesempatan, kita harus membuat pilihan. Tapi dalam pilihan jarang sekali kita dapat kesempatan. Mungkin juga pilihan itu adalah kesempatan dan kesempatan itu adalah pilihan.

Kesempatan ketawa,
Pilihan juga ketawa,
kita sama-sama ketawa

Sebenarnya kita diketawakan oleh kesempatan, diketawakan oleh pilihan, diketawakan oleh ketawa itu sendiri. Ketawa pun ketawa kerana kesempatan mahu ketawa. Ketawa pun ketawa kerana pilihan mahu ketawa. Akhirnya kita semua ketawa kerana diketawakan.


Kita masih lagi menyebut tentang kesempatan ketika pilihan menanyakan maksud kesempatan. Tapi bila kita mahu menyebut tentang pilihan, kesempatan sudah kibarkan bendera putih. Tidak mahu berkata apa. Kesempatan mahu diam. Pilihan yang tertanya-tanya terus berdendam. Tidak mahu lagi memilih pilihan untuk menyebut tentang kesempatan. Kau sedar? Kita ditengah-tengahnya. Tersepit antara kesempatan dan pilihan. Malah kesempatan dan pilihan itu rakus menghimpit kita. Kita tidak tahu apa-apa. Sebab kesempatan dan pilihan sudah berdendam. Kita mangsanya.


Kesempatan dan pilihan itulah ujian. Malah kalau boleh ujian sendiri tidak mahu menguji kesempatan dan pilihan. Tapi itulah hakikat yang perlu ditelan dan kita harus mengerti biarpun pengertian sendiri masih tidak mahu dimengerti. Ah!

- Seandainya menyintaimu satu kesempatan,
- Pasti hidup denganmu suatu pilihan
- Lalu aku pilih keduanya.


- Dialog dalam jiwa Karisma Kejora -