Monday, October 13, 2014

Dian






adakalanya,
perlu berterima kasih
pada gelap malam
kerananya,
kita mampu berkasih
pada bicara pendam
kau tahu, bulan merintih
bersuara lirih?

- dalam kelam
          
usah dian, liuk-lentuk
menuntun usia sumbu,
hingga kian, terperuk
menenun keliru
antara pujukan bayu
dan nyala yang layu

- dalam pejam
           
siapa sangka,
masih tersisa
ruang gelita
meski diannya
mula nyala

- dalam diam

-Karisma Kejora-

____________________________________

Kalau kau tanya mengapa puisiku sukar dimengerti, 
jawabku, 
kerana ia dari hati!

Usah kau tahu kerana kau tak akan tahu apa yang perlu diberitahu sehingga diberitahu apa yang kau mahu tahu. Kau tidak pernah tahu.


Thursday, October 2, 2014

Mimpi Azalea





seperti ada yang tertanggal,
carik dari dinding hati,
hingga terasa janggal,
mimpi yang ditelusuri,

entah siapa?
yang bermukim dalam lena
walau sebentar,
mencucuh, membakar
mata yang berpinar

"esok, kita perlu bangun
 seperti embun,
yang gugur di hujung daun,"

pekaca, cukup sekadar wangi azalea,
untuk duniaku puspawarna,
bukan lagi sepi,
sebagai retribusi

- Karisma Kejora -