Monday, May 13, 2013

Tinta Berdarah Sebatang Pena


Relationships Are Like Glass
cool website | Break Up, Quotes Graphics | Source




Mungkinkah ada dinding kaca yang tidak kelihatan,
Sepertinya kita terpisah antara wangian salam pertemuan,
Kau, aku dan sepasang pancaindera,
Memilih bisu menjadi habuan bicara,
Seakan bahasa mata mukadimah terindah,
Biarpun redup pandangan menghamparkan segurun keluh kesah,

Benarkah rindu dendam terindah yang tercipta?
Sampai saat ini masih jua mendera,
Kenapa dan mengapa,
Bukan soalan yang perlu ditanya,
Kerana jawapannya sering menjadikan kita pendusta,
Yang mendustai perasaan sendiri,
Sedangkan hati kepingin dimiliki,

Lalu kaca yang sejernih ini perlukah diretakkan,
Biarpun menzahirkan luka dan parut kenangan,
Asalkan telapak silaturrahim bersentuhan,
Seperti keadaan tika jiwa raga kita hanyutkan,
Dilambung ombak keakraban,

Tanpa kaca keangkuhan,
Tanpa kaca permusuhan,

Tapi sebenarnya keegoanlah kaca, 
Membentengi diri bagai dalam dunia yang berbeza,
Runtuh dan hancurkanlah tanpa sisa,
Agar kemaafan balasan rindu yang mulia,
Untuk kau, aku atau sesiapa


- KARISMA KEJORA -

_________________________________________________________________________________

Sebalik kaca. Sebuah puisi yang aku nukilkan buat seorang teman. Melalui puisi inilah aku telah berjaya melembutkan hati teman-teman yang suatu masa dahulu bertelingkah angkara kronologi cerita yang tidak mampu diberitakan di sini. Dari sinilah aku mengerti kuasa sebenar sebuah puisi yang mana mampu mencipta sesuatu yang berseri jika berpadanan pada masa dan situasi. Tetapi sebenarnya keindahan pada bahasa itulah yang menjerat, memanipulasikan perasaan sehingga mampu mengembilakan keindahan dalam konteks persahabatan itu sendiri. Kuasa puisi, siapa mungkin mengerti? Kecuali bagi mereka yang sememangnya ibarat mengatur hidup dan mati dalam dunia puisi. Aku? Masih mencari identiti diri.

No comments: